Tuesday, July 7, 2009

ALAT PEMANTAU DIESEL UNTUK KEKANG PENCEROBOHAN BOT PUKAT TUNDA

KUALA SELANGOR, 16 Jun (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mengkaji langkah mewajibkan pemasangan alat pemantau diesel pada bot pukat tunda bagi memudahkan mengesan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan pantai.

Menterinya Datuk Noh Omar berkata kegiatan bot pukat tunda menangkap ikan di kawasan pantai yang meliputi kawasan 10 batu nautika dari pantai yang hanya dibenarkan kepada nelayan tradisional atau pantai telah menjejaskan tangkapan dan pendapatan nelayan berkenaan.

Pencerobohan bot pukat tunda ini sudah lama membelenggu nelayan pantai dan peraturan pemasangan alat itu dijangka dikuatkuasakan tahun depan, katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjumlah RM29,500 kepada 16 nelayan di sini Selasa.

Katanya alat itu yang telah diwajibkan kepada bot perikanan laut dalam bagi memantau pergerakan mereka, tidak begitu mahal dan mampu dipasang oleh pemilik bot pukat tunda.

Beliau berkata pemilik bot pukat tunda yang didapati melanggar peraturan menangkap ikan di kawasan pantai, antara lain boleh disenarai hitam, lesen menangkap ikan mereka tidak boleh diperbaharui dan subsidi bahan api ditahan.

Selain itu, katanya pasukan sukarela “rakan fish” yang telah diperkenalkan di Selangor bagi membantu pihak penguatkuasa seperti polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut dalam mengekang kegiatan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan pantai akan diperluaskan ke seluruh negara.

Beliau berkata pasukan sukarela itu didapati berkesan dalam melaporkan kegiatan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan pantai kepada pihak berkuasa dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain itu, Noh berkata jeti LKIM yang bakal dibina di Kuala Selangor akan mengikut standard yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

– BERNAMA